Kenapa Kita Mesti Ambil Gaji Walaupun Bisnes Masih Kecil?
Walaupun bisnes kita masih kecil macam nyamuk, walaupun sekarang ini kita cuma menjual karipap goreng di bawah pokok, kita mesti ambil gaji.
Katakanlah kita ambil gaji RM2k sebulan. Ambil RM2k sahaja. Cukup tak cukup, itulah duit gaji kita. Kita belanja ikut kemampuan.
Jangan usik duit bisnes. Duit bisnes adalah duit modal pusingan kita atau disebut juga duit rolling. Duit pusingan itu juga disebut cashflow atau aliran tunai.
Begitulah cara kita asingkan antara duit peribadi kita dengan duit bisnes kita. Duit bisnes adalah duit modal. Jangan diusik duit modal.
Apabila ada untung, laburkan semua keuntungan itu ke dalam bisnes kita. Sebagai contoh, gunakan duit itu untuk naikkan jualan.
Dengan cara itulah modal kita makin lama makin banyak. Katakanlah, dulu modal kita menjual karipap goreng di bawah pokok adalah RM200. Selepas 5 bulan, modal itu sudah menjadi RM1,200.
Kita sudah mampu tambah pengeluaran karipap, beli kanopi baru, tambah dapur, tambah tong gas, tambah kuali. Dengan menambah dapur, lebih cepat karipap dapat digoreng di depan mata pembeli. Pembeli puas hati dapat karipap panas-panas, tidak lama menunggu.
Dengan cara itu barulah bisnes kita boleh survive. Apabila bisnes sudah boleh survive barulah ada harapan bisnes kita itu dapat dikembangkan.
Banyak peniaga kecil kerap alami masalah tak cukup duit nak rolling, ataupun cashflow tercekik. Contohnya, ada order besar masuk tetapi mereka tidak cukup duit nak beli bahan-bahan mentah. Terpaksa pula meminjam di sana-sini untuk dapatkan modal membeli bahan mentah.
Puncanya mereka tidak asingkan duit peribadi daripada duit bisnes. Mereka anggap duit bisnesnya adalah duitnya juga. Jadi, mereka kerap terpakai duit bisnes.
Bagaimana pula jika bisnes kita belum mampu membayar gaji kita RM2k sebulan? Bisnes karipap kita cuma mampu membayar kita RM1k sebulan.
Dalam situasi begitu, bermakna bisnes kita setiap bulan berhutang RM1k kepada diri kita. Jadi, setahun bisnes kita berhutang kepada kita RM12k. Jumlah hutang itu akan direkodkan dalam laporan untung rugi bisnes kita.
Apabila jualan karipap kita makin hari makin naik, bisnes kita makin berkembang, satu hari nanti bisnes kita akan mampu beransur-ansur membayar hutang gaji tertunggak itu kepada kita.