Bagaimana Sales Makin Naik Tetapi Bisnes Makin Rugi?

Banyak peniaga yang baru masuk dunia bisnes asyik berfikir macam mana mahu naikkan sales. Mereka kejar sales, sales, sales.

Mereka percaya dengan menaikkan sales, dengan sendirinya profit akan ikut. Makin banyak sales, makin banyak profit. Begitulah sangkaan mereka.

Sebenarnya, apabila sales naik, profit mungkin naik, tetapi profit mungkin juga turun. Tidak apalah jika profit turun, maknaya masih ada profit. Jangan-jangan bisnes kita rugi. Jangan-jangan angka sales naik, tetapi angka kerugian pun naik.

Peniaga yang sudah otai faham sangat apa yang menyebabkan sales naik tetapi kerugian pun naik. Mereka sudah pernah mengalami perkara macam itu.

Contoh-contoh bagaimana sales makin naik tetapi bisnes makin rugi:

1. Kita tidak pandai mengira costing.

Contohnya, kita main agak- agak sahaja berapa kos kita.

Apabila costing kita tidak betul akibatnya harga jualan kita pun tidak betul.

Andai setiap unit yang terjual kita rugi 10 sen, makin tinggi jualan, bermakna makin banyak kerugian kita.

2. Kita menjual secara kredit.

Contohnya, kita mahu naikkan sales, jadi kita tambah jumlah agent kita. Supaya banyak orang mahu menjadi agent, kita izinkan mereka ambil barang secara bill-to-bill.

Memanglah, dengan cara jualan boleh naik, siapa yang tak suka dapat stok tak payah kena bayar dulu, cuma ambil sahaja.

Apa yang berlaku, ada agent-agent yang sudah jual stok tetapi mereka pakai duit itu dan tidak bayar hutang.

Selepas dikira-kira, tolak itu, tolak ini, tolak hutang lapuk agent, bisnes kita rugi!

3. Kos operasi naik.

Perkara ini banyak peniaga nubis tidak sangka. Apabila mereka mengejar sales, mereka cuma memikirkan angka sales sahaja, mereka tidak memikirkan angka kos-kos operasi.

Apabila angka jualan naik, lebih banyak kerja-kerja terpaksa dibuat. Order banyak masuk, kita kena naikkan pengeluaran.

Bermakna kita kena tambah pekerja yang buat pengeluaran. Kerja pembungkusan pun tambah banyak, maklumlah makin banyak barang yang perlu dibungkus.

Kerja penghantaran pun makin banyak.

Apabila kita tambah pekerja, automatik kos gaji, elaun overtime, caruman KWSP, Perkeso, SIP akan naik. Bil air dan api pun akan naik.

Walaupun sales naik, tetapi kenaikan itu tidak dapat hendak cover kenaikan kos operasi. Akibatnya, bisnes bukan makin untung sebaliknya makin rugi.

4. Cawangan baru.

Banyak pemilik kedai makan membuka cawangan baru dengan tujuan mahu menaikkan sales. Memanglah, apabila ada cawangan baru maka jualan akan naik.

Walau bagaimanapun, jualan di cawangan baru itu belum dapat cover kos operasi cawangan itu.

5. Kos periklanan.

Jika kita hendak naikkan sales, kita terpaksa buat iklan. Tak mungkin sales boleh naik andainya kita tak sanggup keluarkan modal untuk kempen marketing dan kempen advertising atau periklanan.

Apabila kita mahu menaikkan sales, salah satu bajet yang terpaksa ditambah adalah bajet periklanan. Kita terpaksa gunakan iklan berbayar. Ada masanya, kita jalankan sendiri iklan berbayar, kononnya kita hendak berjimat.

Disebabkan kita bukan pakar dalam menjalankan iklan berbayar, lalu hasilnya tidak memberangsangkan.

Memang ada kenaikan angka sales, tetapi tidak dapat cover kos iklan berbayar. Beribu-ribu ringgit duit terbakar untuk iklan berbayar manakala pulangannya tidak seberapa.

Jadi, sales naik, tetapi profit syarikat jatuh.

PENUTUP

Tujuan bisnes adalah membuat keuntungan. Ada masanya biar sales turun, asalkan profit naik. Sebagai contoh, tutup cawangan baru. Sales memang turun, tetapi kos operasi juga dapat diturunkan sehingga akaun menunjukkan bisnes kita untung.